KONSPIRASI DAN MAKAR (TIPU DAYA)

Memang ada yang percaya pada konspirasi, namun tiap-tiap mereka tidaklah sama level. Ada yang percaya namun tidaklah sampai membesar-besarkan isu sehingga mengajak menolak SOP atau menghina pemerintah. Dan tidak dinafikan juga memang ada yang golongan menolak SOP serta meremehkan dan memperkecilkan usaha pemerintah dalam menangani covid19 ini terutamanya bagi orang awam yang jahil prinsip dan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah dan golongan ahli bidaah.

Jangan jadi seperti golongan yang apabila dikatakan bahawa hadis baca yasin malam jumaat itu palsu, lalu terus dituduh mereka ni golongan yg mengharamkan baca Al-Quran. Ada pula golongan yang tidak menganjurkan berdoa jemaah lepas solat, lalu dituduh mereka mengharamkan baca doa, atau mereka tidak merayakan maulid, lalu dituduh mereka membenci Rasulullah ﷺ.

Sebagaimana jika ada yang membantah golongan ahli bidaah, maka tidak semestinya mereka itu semua golongan yang dikatakan salafi atau wahabi atau kaum muda atau ikhwani dan seterusnya. Setiap mereka tidak sama pada prinsip dan manhaj.

Sebagaimana juga sebahagian golongan ada yang menuduh kononnya buku-buku Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah membawa kepada fahaman radikal dan ekstrim kerana menjadi rujukan bagi golongan khawarij, Isis dan seangkatannya. Maka tidak boleh dipukul rata (pukalisme) bahawa semua mereka yang merujuk buku-buku Syeikhul Islam sudah semestinya adalah berfahaman khawarij. Tidak semestinya.

Sebagaimana sebahagian orang kafir ada yang menuduh umat islam ini seluruhnya berfahaman ekstrim kerana merujuk kepada Al-Quran. Lalu mereka ingin membakar Al-Quran kerana tafsiran yang salah itu. Sedangkan setiap agama tidak kira Islam, Kristian, Yahudi atau Hindu masing-masing juga ada golongan ekstrim pada agama masing-masing. Adakah sebab kitab mereka?

Golongan yang percaya konspirasi ni terdiri dari banyak latar belakang. Tidak setiap konspirasi yang dipegang oleh setiap golongan adalah sama antara satu sama lainnya. 

Golongan kafir sememangnya dari dahulu memang punya konspirasi jahat ke atas umat Islam.

Firman Allah SWT:

ولن ترضى عنك اليهود ولا النصارى حتى تتبع ملتم

“Orang-rang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang terpesong itu)...” (Al-Baqarah: 120)

Bahkan Rasulullah ﷺ juga menyatakan umat Islam pula selalu akan terpengaruh dan mengikuti orang-orang Yahudi dan Nasrani.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri, dari Rasulullah ﷺ bersabda:

لتتبعن سنن من كان قبلكم شبرا شبرا وذراعا بذراع حتى لو دخلوا جحر ضب تبعتموهم، قلنا: يا رسول الله، اليهود والنصارى؟ قال: فمن؟

“Sungguh kamu akan mengikuti jejak langkah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya kalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun, pasti kamu mengikuti mereka.” Kami (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, Yahudi dan Nasranikah itu?” Baginda menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka)?” (HR. Al-Bukhari, no: 7320)

Apa juga konspirasi kuffar ke atas umat Islam dan manusia seluruhnya, maka Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya mereka.

ومكروا ومكر الله والله خير الماكرين

“Dan mereka itu merancangkan tipu daya sedang Allah pula membalas tipu daya (mereka) dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.” (Ali-‘Imran: 54)

ومكروا مكرا ومكرنا مكرا وهم لا يشعرون

“Dan mereka telah merancang rancangan jahat, dan Kami pula merancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya.” (An-Naml: 50)

Sebaiknya umat Islam memikirkan bagaimana membantu menyebarkan dan menegakkan agama Allah dari memikirkan konspirasi kurang jelas yang tidak berkesudahan. Melainkan konspirasi yang jelas seperti demokrasi, liberal, pluralisme, dan bermacam-macam ajaran sesat yang cuba menghuru-harakan negara dan imej Islam yang sebenar. 

Firman Allah:

يا أيها الذين ءامنوا إن تنصروا الله ينصركم ويثبت أقدامكم

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad: 7)

Ulasan