Makna Syahadah: Muhammadur-Rasulullah

Syahadah (persaksian) yang kedua berbunyi:

أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

Asyhadu Anna Muhammadan Abduhu Warasuluhu

“Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu hamba dan rasulNya (utusanNya).”

Di dalam syahadah ini terkandung dua rukun yang amat penting, iaitu:

1. Bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah hamba Allah: Ini bermakna baginda tidak boleh disembah, tidak boleh diserahkan kepadanya ibadah.

2. Bahawa baginda adalah utusan Allah, maka tidak boleh seorang pun mendustakannya.

Rasulullah s.a.w memiliki kedudukan ubudiyah (penghambaan) sebagai hamba Allah SWT yang sejati iaitu baginda benar-benar merealisasikan penghambaan kepada Allah SWT secara sempurna.

Oleh kerana itu, Allah SWT menggelar dan memuji baginda serta meninggikan kedudukan baginda dengan disebut sebagai hamba dalam beberapa ayat Al-Quran.

Allah SWT berfirman:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya.” (Al-Isra: 1)

Di ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَأَنَّهُ لَمَّا قَامَ عَبْدُ اللَّهِ يَدْعُوهُ كَادُوا يَكُونُونَ عَلَيْهِ لِبَداً

“Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembahNya (mengerjakan ibadah), hampir sahaja jin-jin itu desak mendesak mengerumuninya.” (Al-Jin: 19)

Syeikh Sulaiman bin Abdullah Alu Syeikh berkata: “Hamba maknanya adalah yang dimiliki, yang menyembah, iaitu dimiliki oleh Allah SWT dan tidak mempunyai sedikit pun sifat-sifat Rububiyah dan Uluhiyah. Sesungguhnya dia (Nabi Muhammad s.a.w) hanyalah seorang hamba yang dekat di sisi Allah ‘Azza wa Jalla.” (Taisir Al-’Aziz Al-Hamid, hal. 81-82).

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata: “Dan kewajipan dari syahadah ini adalah tidak boleh diyakini bahawasanya Rasulullah s.a.w mempunyai hak dalam Rububiyah dan mengatur alam semesta atau mempunyai hak dalam ibadah (hak untuk disembah). Bahkan dia (Rasulullah) seorang hamba, tidak disembah, dan Rasul tidak didustakan dan tidak memiliki sedikit pun kemampuan untuk memberi manfaat ataupun mudharat, baik kepada dirinya ataupun selain dirinya, kecuali apa yang Allah kehendaki sebagaimana firman Allah:

“Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku".” (Al-An’am: 50 )

Maka baginda selaku hamba diperintahkan untuk mengikuti apa-apa yang diperintahkan dengannya. Kemudian firman Allah SWT:

“Katakanlah lagi; " Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.” (Al-Jin: 21)

Juga firman Allah SWT:

قُلْ لاَ أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلاَ ضَرًّا إِلاَّ مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلاَّ نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

“Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".” (Al-A'raf: 188). (Syarh Thalathah Al-Usul, hal. 71).

Makna Syahadah: Muhammadur-Rasulullah

1. Mentaati segala perintahnya
2. Membenarkan segala berita yang sampai darinya
3. Menjauhi segala yang dilarangnya
4. Tidak menyembah (beribadah) kepada Allah SWT melainkan dengan cara yang diajarkan oleh baginda s.a.w.

Ulasan