MAKSUD KURNIA DAN RAHMAT ALLAH YANG SEBENAR

Firman Allah SWT:

قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَ ٰ⁠لِكَ فَلۡیَفۡرَحُوا۟ هُوَ خَیۡرࣱ مِّمَّا یَجۡمَعُونَ

Katakanlah (Muhammad), “Dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” [Surah Yunus 58]

Ayat di atas ini ada yang menjadikannya sebagai dalil umum agar kita bergembira di atas kelahiran Rasulullah ﷺ. Namun benarkah maksud firman Allah tersebut begitu? Mari kita lihat beberapa penjelasan daripada para ulama tafsir yang muktabar di bawah:

Dalam Tafsir Jalalayn dinyatakan tafsiran ayat di atas:

﴿قُلْ بِفَضْلِ اللَّه﴾ الإسْلام ﴿وبِرَحْمَتِهِ﴾ القُرْآن ﴿فَبِذَلِكَ﴾ الفَضْل والرَّحْمَة ﴿فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْر مِمّا يَجْمَعُونَ﴾ مِن الدُّنْيا بِالياءِ والتّاء

“(Katakanlah: Dengan kurnia Allah) iaitu agama Islam (dan rahmatNya) iaitu Al-Quran (maka dengan hal itu) dengan kurnia dan rahmat tersebut (hendaklah mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmatNya itu adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.") Iaitu dari keduniaan. Dengan huruf ya (yajma'uuna) dan huruf ta (tajma'uuna).”

Imam As-Sa’di rahimahullah berkata:

ولذلك أمر تعالى بالفرح بذلك فقال‏:‏ ‏﴿‏قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ‏﴾‏ الذي هو القرآن، الذي هو أعظم نعمة ومنة، وفضل تفضل الله به على عباده ‏﴿‏وَبِرَحْمَتِهِ‏﴾‏ الدين والإيمان، وعبادة الله ومحبته ومعرفته‏.‏ ‏﴿‏فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ‏﴾‏ من متاع الدنيا ولذاتها‏.‏

“Oleh yang demikian Allah perintahkan agar bergembira dengan berfirman: (Katakanlah: Dengan kurnia Allah) iaitulah Al-Quran yang mana ia merupakan sebesar-besar nikmat, dan kurniaan yang dikurniakan oleh Allah ke atas hamba-hambaNya. (Dan rahmatNya) berupa agama dan iman, dan peribadatan kepada Allah, kecintaan serta makrifat (pengetahuan tentangNya). (Hendaklah dengan itu mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan) dari perhiasan-perhiasan dunia.”

Imam Ibnu Kathir rahimahullah berkata:

أَيْ: بِهَذَا الَّذِي جَاءَهُمْ مِنَ اللَّهِ مِنَ الْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ فَلْيَفْرَحُوا، فَإِنَّهُ أَوْلَى مَا يَفْرَحُونَ بِهِ، ﴿هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ﴾ أَيْ: مِنْ حُطَامِ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا مِنَ الزَّهْرَةِ الْفَانِيَةِ الذَّاهِبَةِ لَا مَحَالَةَ

“Iaitu: dengan ini yang datang kepada mereka dari Allah adalah hidayah dan agama yang hak (benar), hendaklah mereka bergembira, kerana sesungguhnya itu ianya lebih patut untuk mereka gembirakan. (Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan) iaitu: dari harta benda dunia dan apa-apa yang ada di dalamnya dari perhiasannya yang pasti akan fana dan lenyap.”

Dari tafsiran-tafsiran di atas jelas maksud Kurnia Allah adalah agama Islam, Al-Quran dan hidayah Allah, manakala rahmatNya ditafsirkan sebagai Al-Quran, agama Islam dan keimanan serta ibadah yang mencukupi cinta dan makrifat. 

Penjelasan ini bermaksud untuk membetulkan tafsiran sebahagian orang yang berdalilkan daripada ayat-ayat umum Al-Quran namun di salah alamatkan. 

Imam Ibnu Abdil Hadi rahimahullah berkata: 

“…Tidak boleh mengeluarkan tafsiran terhadap sesuatu ayat atau sunnah dengan tafsiran yang tidak pernah ada di zaman para ulama salaf, yang mereka tidak ketahui dan tidak juga pernah mereka jelaskan kepada umat. Ini kerana perbuatan begini mengandungi (tuduhan) bahawa mereka tidak mengetahui kebenaran serta lalai darinya...” (As-Sorimil Munki)

Dan penjelasan ini juga bukan bermakna kita benci akan kelahiran Rasulullah ﷺ. Bahkan baginda ﷺ sendiri suka berpuasa pada hari isnin kerana hari isnin mempunyai banyak keutamaan di antaranya adalah ia merupakan hari dimana Rasulullah ﷺ dilahirkan.

Dari Abu Qatadah Al-Ansari:

وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ اَلِاثْنَيْنِ قَالَ: ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ وَبُعِثْتُ فِيهِ أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ

Lalu baginda ditanya mengenai puasa pada hari isnin, baginda menjawab: "Itu adalah hari, ketika aku dilahirkan dan aku diutus (sebagai Rasul) atau pada hari itulah wahyu (Al-Quran) diturunkan kepadaku." (HR. Muslim, no: 1977)

Wallahu'alam

Ulasan