Takwa Di Sisi Para Salaf


Maksud Asal "takwa" ialah seorang hamba itu meletakkan pelindung yang dapat memelihara dirinya daripada perkara yang ditakuti dan diawasinya. Oleh itu ketakwaan hamba kepada Tuhannya bermaksud dia meletakkan pelindung yang dapat melindungi dirinya daripada kemarahan, kemurkaan dan balasan seksa Tuhannya yang dia takuti. Caranya ialah dengan melakukan ketaatan kepada Tuhannya dan menjauhi laranganNya.

1. Muaz bin Jabal r.a berkata: "Pada hari kiamat, akan diseru: “Dimanakah orang-orang yang bertakwa?” Lalu mereka pun bangun di bawah naungan ar-Rahman. Allah SWT tidak berhijab dan tidak berselindung daripada mereka. Mereka pun bertanya kepadaNya: “Siapakah orang-orang yang bertakwa itu?” Lalu Allah berfirman: “Golongan yang memelihara diri daripada syirik dan penyembahan berhala, serta mereka mengikhlaskan ibadat kepada Allah.”

2. Ibnu Abbas r.ahuma berkata: “Orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang takutkan hukuman Allah SWT jika mereka meninggalkan petunjukNya yang mereka ketahui. Di samping itu, mereka sentiasa mengharapkan rahmatNya dengan cara mempercayai setiap apa yang diturunkanNya.”

3. Al-Hasan berkata: “Gololongan bertakwa memelihara diri mereka daripada segala perkara yang diharamkan ke atas mereka dan menunaikan segala perkara yang difardukan ke atas mereka.”

4. Umar bin Abdul Aziz r.h berkata: “Takwa yang sebenar kepada Allah bukanlah dengan berpuasa pada siang hari, dan bukan juga dengan mendirikan solat sunnah di malam hari, di samping menggabungkan antara keduanya antara amalan soleh itu. Akan tetapi takwa kepada Allah itu adalah meninggalkan apa-apa yang Allah haramkan dan menunaikan apa-apa yang Allah difardukan. Oleh itu, sesiapa yang dianugerahkan kebaikan selepas itu, maka ia merupakan kebaikan tambahan kepada kebaikan yang sebelumnya.”

5. Talq bin Habib berkata: “Takwa itu adalah engkau mengerjakan ketaatan kepada Allah di atas cahaya petunjuk dari Allah, sambil mengharapkan pahala Allah, dan juga meninggalkan maksiat kepada Allah di atas cahaya petunjuk daripada Allah, sambil engkau takut akan azabNya.”

6. Abu Darda r.a berkata: “Kesempurnaan takwa ialah seseorang hamba bertakwa kepada Allah, hinggakan dia bertakwa kepadaNya dalam urusan yang seberat semut yang halus, hinggakan dia meninggalkan setengah perkara yang dipandangnya halal kerana bimbang haram. Lalu sikap itu menjadi pendinding antara hamba itu dengan perkara yang haram. Sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada para hambaNya akan kesudahan mereka. Firman Allah:

فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَیۡرࣰا یَرَهُۥ (7) وَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةࣲ شَرࣰّا یَرَهُۥ (8) 

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! [Surah Az-Zalzalah: 7-8]

Justeru itu, janganlah kamu memandang rendah kepada mana-mana kebaikan untuk kamu lakukan. Janganlah juga kamu memandang rendah kepada mana-mana keburukan untuk kamu berwaspada daripada.”

7. Al-Hasan berkata lagi: “Sifat takwa terus mengawal orang-orang yang bertakwa, sehingga mereka meninggalkan banyak perkara halal kerana takutkan perkara yang haram.”

8. Ath-Thawri berkata: “Sesungguhnya mereka dinamakan muttaqin (orang-orang bertakwa) kerana mereka telah memelihara diri daripada perkara yang tidak wajib ditakuti.”

9. Musa bin A’yan berkata: “Orang-orang yang bertakwa membersihkan diri daripada perkara-perkara halal, kerana takut terjerumus ke dalam perkara yang haram. Lantaran itu, Allah menamakan mereka muttaqin (orang-orang yang bertakwa).”

10. Maimun bin Mihran berkata: “Orang yang bertakwa lebih kuat menghitung dan menilai (muhasabah) dirinya berbanding muhasabah rakan kongsi yang kedekut terhadap rakan kongsinya sendiri.”

(Rujukan: Jami al-‘Ulum wal-Hikam, Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali. Versi terjemahan: Himpunan Ilmu dan Hikmah, Pustaka Salam)

Ulasan